Wednesday 30 November 2011

Bahasa Jiwa Bangsa

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.


     Begitulah digambarkan betapa bahasa itu sungguh tinggi nilai dan besar fungsinya. Asas keterampilan sesuatu bangsa dapat digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak Negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat negara Perancis, German, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia. 

     Bahasa yang kita tuturkan berupaya menggambarkan sahsiah kita. Kesantunan berbahasa yang kita perjuangkan dalam kalangan masyarakat penuturnya telah mengangkat martabat masyarakat di negara kita sebagai masyarakat yang peramah, bersopan santun, berbudi pekerti mulia dan berbudi bahasa. Kita kagumi oleh masyarakat di seantero dunia kerana perpaduan jitu dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Tanpa melihat kepada perbezaan bangsa iaitu sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain lagi, kita menggunakan bahasa yang satu, iaitu bahasa Malaysia tanpa prejudis.

     Bahasa Malaysia berupaya menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya kita diberi jolokan oleh masyarakat dunia sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, ramah dan melayan tetamu dengan sopan.

Oleh itu, jika bukan kita yang mencintai bahasa kita siapa lagi.

"Bahasa Jiwa Bangsa"

No comments:

Post a Comment